Translate

Sabtu, 26 Januari 2013

Aktiviti yang ditawarkan oleh Pemandu Pelancong Tempatan

Bersesuaian dengan salah satu konsep ekopelancongan iaitu, mendatangkan manfaat dan pulangan kepada penduduk setempat, Jabatan Perhilitan telah mengadakan Kursus Pemandu Pelancong Alam Semulajadi yang mendapat lesen dari Kementerian Pelancongan untuk beroperasi di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK). Berbekalkan pengetahuan yang diberikan semasa kursus, mulai dari bulan Mac tahun 2012, pemandu pelancong tampatan (Local Tourist Guide) telah menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan di sini. 

Perkhidmatan pemandu pelancong bersesuian dangan pemintaan pelawat yang inginkan lebih layanan, bantuan dan maklumat semasa lawatan ke sini. Ia juga penting untuk dalam soal keselamatan pelawat, dimana sebagai contoh, aktiviti mandi bersama anak gajah hanya dibenarkan kepada pelawat yang mengambil pemandu pelancong tempatan bersesuaian dengan SOP (Prosedur Standard Operasi) yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan PKGK.

Antara aktiviti yang boleh dijalankan bersama pemandu pelancong alam semulajadi tempatan adalah:-

1. Menyusuri denai gajah sejauh 1.5km.
Pelawat dibawa ke dalam kawasan Hutan Simpan Krau sambil diberikan penerangan mengenai flora dan fauna yang terdapat di hutan hujan tropika. Pelawat akan juga melihat kehidupan gajah dan anak gajah yang menjalani latihan dan senaman harian mereka di sini.

2. Mengikuti program lawatan harian
Aturcara program lawatan harian bermula dari jam 1.00 petang (menonton video proses menangkap dan memindahkan gajah dari kawasan bermasalah ke habitat baru. Video selama 30 minit ini dibuat dengan kejasama staf National Geographic), 2.00 petang (Memerhati gajah dewasa dimandikan, mengikuti penerangan dan persembahan kebolehan gajah, memberi makan gajah dewasa dan bergambar)

3. Mandi bersama anak gajah (sehingga 30 Jun 2013 sahaja)
Bagi mereka yang telah mendapatkan khidmat pemandu pelancong tempatan, dan sekiranya keadaan air sungai tidak membahayakan pelawat dan anak gajah, pelawat boleh mengikuti acara ini. 

4. Melawat perkampungan Orang Asli Kaum Che Wong
Antara 18 suku kaum orang asli di Semenanjung Malaysia, kaum Che Wong adalah suku kaum orang asli yang mempunyai populasi paling rendah iaitu sekitar 400 orang sahaja. Kebanyakkan mereka tinggal di Hutan Simpan Krau. Bagaimanapun, kerajaan telah menyediakan kawasan perumahan berkelompok untuk mereka tinggal berhampiran PKGK. Pelawat akan dibawa melawat perkampungan dan dewan pameran kaum ini, mencuba buluh sumpitan dan sekiranya tempahan awal dibuat, boleh menyaksikan tarian sewang.