Translate

Khamis, 15 Julai 2010

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan

Aktiviti PERCUMA yang ditawarkan adalah: menunggang gajah, mandi bersama gajah, memberi makan gajah, bergambar bersama gajah, bermesra dan membelai anak gajah. Terdapat pelbagai saiz gajah yang ada di sini, dari cucu gajah hinggalah nenek gajah. Kita juga berpeluang menonton dokumentari terbitan National Geographic tentang aktiviti pemindahan gajah liar yang dilakukan oleh kakitangan jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia. Terdapat juga bilik pameran mini yang membolehkan kita mendapatkan maklumat berkaitan gajah Asia dan Afrika.

Bagaimana untuk ke sana?
Maaf, tiada pengangkutan awam disediakan (semasa webpage ini ditulis). Samada bawa kenderaan sendiri, sewa teksi, van atau bas. Terdapat juga ajen pelancongan dari Kuala Lumpur, Kuantan dan Jerantut yang menjual pakej lawatan meliputi pengangkutan, makan dan minum.
Sekiranya kita memandu dari Kuantan atau Kuala Lumpur, kita perlu melalui Lebuhraya Pantai Timur, dan keluar ke Tol Lanchang. Sebaik sahaja melepasi tol, kita akan menjumpai simpang, ke kiri menghala ke pekan Lanchang dan arah KANAN menghala ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah (lihat papan tanda warna coklat). Sebelum sampai ke sana, kita juga akan menjumpai simpang ke kiri menghala ke Raub dan Kuala Lipis, jangan belok kiri! Teruskan perjalanan dan kita akan melalui perkampungan Melayu (Kg. Bolok), masjid, sekolah, klinik, kolam memancing dan selepas mendaki bukit, kita akan lihat satu simpang ke kanan menghala ke Deerland dan Institut Biodiversiti. Jangan masuk kanan, teruskan perjalanan sehingga sampai ke perkampungan Che Wong (suku kaum orang asli). Selepas 11km perjalanan dari simpang tol Lanchang, sampailah kita ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah.
Bagi penduduk negeri Pahang, mereka juga biasa menggunakan jalan lama Mentakab – Karak – Kuala Lumpur untuk sampai ke Pekan Lanchang. Terdapat juga jalanraya dari Raub dan Kuala Lipis melalui Felda Bukit Damar. Bagaimanapun, untuk perjalanan lebih lancar dan selesa, lebih ramai yang menggunakan lebuhraya.

Apa Program Lawatan yang disediakan?
Pusat ini dibuka sepanjang tahun dan acara bersama gajah cuma bermula jam 2 petang atau 2.30 petang pada hari Jumaat. Walaupun begitu, adalah disarankan agar datang dan mendaftar lebih awal kerana aktiviti menunggang gajah dihadkan kepada 100 orang sahaja sehari. Pusat ini biasa menerima kunjungan sehingga melebihi seribu orang tetamu sehari, terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
Pendaftaran masuk adalah diwajibkan, sila ke kaunter pendaftaran, sediakan kad pengenalan dan isi borang lawatan. Pengunjung akan diberikan sticker berwarna kuning atau merah bergantung kepada jenis aktiviti yang ingin diikuti. Sticker atau pelekat ini perlu dilekatkan di baju dan dipaparkan bagi tujuan kawalan dan keselamatan.

TIADA bayaran dikenakan untuk masuk ke Pusat ini atau mengikuti program yang disediakan. Tetapi kita digalakkan menderma bagi membiayai kos operasi di Pusat ini. Terdapat 19 ekor gajah yang perlu dijaga, sendiri mau ingat, seekor gajah dewasa makan hingga 100kg sehari, itu belum termasuk belanja perubatan dan peralatan. Jadi, kasihanilah anak-anak gajah yatim piatu yang ada di sini, Lagipun, sudah menjadi hukum karma, banyak kita memberi/menderma, lagi banyak yang akan kita dapat dikemudian hari.
Sebelum aktiviti bersama gajah bermula, para tetamu boleh menonton video dan mengunjungi ruang pameran. Terdapat juga kedai runcit, gerai makan dan stall cenderhati yang boleh dikunjungi. Surau dan tandas awam juga disediakan.

Tiada ulasan: